Kanak-kanak bermasalah
pembelajaran adalah mereka yang mempunyai masalah neurologikal hingga
menjejaskan pemahaman, penggunaan bahasa, pertuturan, penulisan, berfikir,
membaca, menulis, mengeja dan bermatematik.
Tidak semua kanak-kanak dapat
menerima dan menguasai pembelajaran seperti yang diharap dan dirancang.
Terdapat beberapa golongan kanak-kanak yang tidak bernasib baik sehingga
menghalang proses-proses pembelajaran berlaku dengan baik dan cemerlang.
Antara
golongan itu adalah kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Siapakah Kanak-Kanak
Bermasalah Pembelajaran? Kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah mereka yang
mempunyai masalah neurologikal hingga menjejaskan pemahaman, penggunaan bahasa,
pertuturan, penulisan, berfikir, membaca, menulis, mengeja dan bermatematik.
Mereka tidak mempunyai kebolehan bagi mengikuti pelajaran secara formal seperti
pelajar lain. Justeru, mereka tidak mempunyai kebolehan untuk maju secara
normal di sekolah. Prestasi mereka menunjukkan mereka tidak ada kebolehan
bergerak secara normal dalam kerja-kerja sekolah. Mereka tidak dapat membuat kerja-kerja kelas yang sesuai dengan umur mereka. Jika dibandingkan dengan
dengan murid lain dalam lingkungan umur yang sama, mereka menunjukkan kelemahan
yang nyata dalam pelajaran. Mereka biasanya tidak dapat mengikuti pelajaran
yang diajar oleh guru yang menggunakan kaedah dan prosedur pengajaran yang
biasa disebabkan jangka penumpuan yang pendek, kurang kebolehan memindahkan perkara-perkara
yang dipelajari. Mereka juga memerlukan lebih dorongan dan benda-benda yang
nyata ketika belajar. Kebanyakan mereka dikenal pasti mengalami masalah
pembelajaran semenjak tahun pertama persekolahan.
Terdapat dua petunjuk utama
masalah pembelajaran. Pertama, walaupun pelajar berupaya belajar, kadar
pembelajaran mereka sangat perlahan. Ini disebabkan tahap perkembangan
menyerupai kanak-kanak yang lebih muda. Contohnya, tahun dua hanya permulaan
belajar abjad, membilang dan menulis namanya sendiri. Kedua, kebanyakan
perkembangan ditunda. Mereka gagal setanding dengan mereka yang membangun dalam
intelektual dan bahasa, pencapaian akademik, kecekapan sosial dan kemahiran
persediaan vokasional.
Walaupun kadar pembelajarannya perlahan, mereka boleh
memperoleh pelbagai aktiviti di dalam kelas. Walau bagaimanapun, sebahagian
pembelajaran mereka sukar dipelajari. Contohnya kemahiran pemahaman pembacaan
adalah lebih sukar berbanding pembacaan biasa. Maksudnya, pelajar kurang
berjaya menyelesaikan masalah matematik berbanding pengiraan matematik.
Jelaslah pelajar ini sukar memohon kemahiran pembelajaran apabila berhadapan
dengan situasi baru.
Punca Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran Pada peringkat
awal sudah disebut kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran adalah
mereka yang mengalami masalah neurologi terutama otak. Otak secara umumnya
terdiri daripada dua bahagian iaitu: Bahagian atas yang disebut cortex Bahagian
bawah yang disebut medulla dan sekitarnya. Otak atas yang terdapat pada manusia
bersifat adalah dinamis dan potensinya dapat dikembangkan seluas-luasnya. Otak
bawah yang terdapat dalam spesies tinggi dan juga spesies rendah seperti
kucing, monyet dan sebagainya adalah bersifat statik. Otak bawah memiliki
fungsi-fungsi dasar seperti berikut: Medula berfungsi mengendalikan pernafasan,
pencernaan, detik jantung dan penelaan. Serebelum berfungsi mengkoordinasi
pelbagai gerakan organ jasmani dan refleks. Talamus berfungsi sebagai
penyambung maklumat yang diperoleh oleh deria melalui sub-sub bahagian otak
bawah ke otak atas atau cortex. Hipotalamus berfungsi mengatur ekspresi yang
berasal daripada dorongan-dorongan dasar seperti dorongan rasa lapar dan
seksual.
Selanjutnya, memori terdiri daripada dua jenis iaitu: Memori semantik
iaitu memori khusus yang menyimpan pengertian maklumat. Memori episodik iaitu
memori khusus yang menyimpan maklumat peristiwa. Dalam memori semantik,
maklumat yang diterima ditransformasikan dan diberi kod makna, lalu disimpan.
Maklumat yang disimpan tidak dalam bentuk asal, tetapi dalam bentuk kod yang
bermakna. Pelajar yang memiliki maklumat hasil proses semantik seperti itu
dapat mempertahan dan menggunakannya dalam waktu yang lebih lama dan dalam
situasi yang lebih kompleks. Sesuai dengan namanya, memori semantik berfungsi menyimpan
konsep-konsep yang signifikan dan bertalian antara satu dengan yang lain.
Apabila Adam berkata, “Saya tahu bangau adalah burung dan memiliki sayap”.
Dalam kenyataan deklaratif ini, bangau adalah superordinat bagi burung-burung
lain seperti kenari, merak dan lain-lain. Sayap adalah ciri-ciri bagi
burung-burung pada umumnya. Maklumat yang terungkap dalam burung dan sayap,
selanjutnya dapat diperlakukan oleh memori Adam bagi menjelaskan erti konsep
burung yang lain yang memiliki superordinat dan ciri-ciri serupa dengan bangau.
Oleh yang demikian, butir-butir maklumat yang tersimpan dalam memori semantik
bersifat dinamis dan dapat diolah serta diaplikasikan oleh akal Adam bagi
memahami fenomena lain yang relevan dengan butir-butir maklumat itu. Memori episodik
adalah memori yang menerima dan menyimpan peristiwa-peristiwa yang terjadi
ataupun dialami pelajar pada waktu dan tempat tertentu yang berfungsi sebagai
referensi autobiografi. Apa yang kamu makan pagi tadi, ke mana kamu pergi
semalam, dan peristiwa yang kamu alami pada hari pertama di darjah satu dan
sebagainya adalah contoh-contoh maklumat yang tersimpan dalam memori episodik.
Walaupun penyebab lupa itu pelbagai, namun yang penting yang perlu diperhatikan
adalah faktor pertama di atas yang merangkumi gangguan proaktif dan retroaktif
kerana ia sudah dibuktikan melalui penyelidikan.
Di samping itu, ciri-ciri
mereka adalah seperti berikut: Lemah dalam penguasaan membaca, menulis dan
mengira atau 3M. Keliru dengan nombor ‘13 dan 31’, menulis ‘p sebagai q’ dan
tidak dapat mengingat turutan angka ataupun huruf. Penguasaan yang lemah dalam
sesuatu kemahiran kognitif jika dibandingkan dengan rakan sebaya. Sukar
mengikut arahan. Lemah dalam keseluruhan pelajaran. Mempunyai darjah kecerdasan
antara 70 hingga 90. Selalu gagal dalam latihan dan ujian. Memerlukan jangka
masa yang lama bagi menguasai sesuatu kemahiran. Lemah dalam perkara-perkara
yang abstrak. Mengulangi sesuatu aktiviti beberapa kali tanpa berhenti. Keliru
dengan hari seperti ‘hari ini’ disebut sebagai ‘esok’ dan sebaliknya.
Menunjukkan kesukaran dengan koordinasi motor kasar ataupun halus. Lemah dalam
menerima konsep yang baru. Tidak dapat menghubungkaitkan konsep yang baru
dengan yang lama. Lambat mengingat semula. Tidak dapat menganalisis. Tidak
dapat menyelesaikan masalah. Lemah dalam mengutarakan idea. Mudah terganggu.
Rendah diri. Gangguan emosi. Pemalu. Penakut. Tidak ada motivasi. Tidak
menunjukkan reaksi apabila tiba-tiba bunyi bising kedengaran seperti tepukan
tangan ataupun pintu ditutup dengan kuat ataupun mengelipkan mata ataupun
membuka matanya dengan luas bagi mencari arah bunyi itu. Tidak memerhati
bunyi-bunyian seperti bunyi motosikal dan sebagainya. Tidak menunjukkan respons
apabila namanya dipanggil. Tidak dapat membezakan bunyi-bunyi. Tidak dapat
mengingati apa yang didengar. Selalu menyebut “Saya tak peduli” ataupun “Saya
tak mahu.” Tidak dapat memahami perhubungan dan konsep berdasarkan maklumat
yang didengar. Tidak dapat membezakan bunyi-bunyian yang penting daripada
beberapa bunyi-bunyian latar belakang. Tidak dapat melihat perbezaan dan
persamaan saiz, bentuk, warna dan kedudukan. Sukar mengingati semula apa yang
dilihat.
Punca Kecacatan-Kecacatan pada kanak-kanak dikenal pasti berlaku
disebabkan oleh perkara-perkara berikut: Baka Apabila dikaitkan dengan baka, ia
bermula daripada hubungan seksual suami dan isteri. Umumnya suami menghasilkan
sperma dalam 23 pasangan kromosom. Begitu juga dengan isteri menghasilkan telur
dalam 23 pasangan kromosom. Ia berlaku dalam 2 jenis pewarisan. Pertama, ibu
bapa mempunyai kecacatan dan diwarisi oleh anak. Kedua, ibu bapa tidak cacat
tetapi anak cacat. Setiap pasangan kromosom yang wujud dalam pasangan itu
menghasilkan empat percantuman apabila berlaku persenyawaan. Dalam keadaan
inilah anak mungkin mewarisi sifat cacat. Ketidakseimbangan kromosom yang
pertama iaitu ‘autosomal dominant’, di mana pewarisan baka ini diwarisi oleh
anak. Contohnya jika salah seorang daripada ibu dan bapanya mempunyai baka
cacat maka peluang mendapat anak bermasalah pembelajaran serta kecacatan yang
lain adalah 50% pada setiap kali kandungan. Pewarisan kedua, ‘autosomal
excessive’ iaitu kedua ibu bapa pembawa cacat. Jika salah seorang saja pembawa
baka cacat, maka anak yang dilahirkan tidak cacat cuma masih sebagai pembawa
baka cacat.
Bagaimanapun, bagi pasangan yang normal tetapi kedua-duanya pembawa
baka cacat kemungkinan anak cacat tetap ada kerana kedua-dua ibu bapanya adalah
pembawa baka cacat. Peratus mendapat anak cacat adalah 25%, 50% menjadi pembawa
manakala 25% lagi mungkin normal. Keadaan ini berlaku setiap kali kandungan.
Contohnya daripada tiga kandungan mungkin dua anaknya dilahirkan normal kerana
penerimaan baka normal.
Oleh itu, sebahagian ibu bapa yang normal juga
mempunyai anak cacat. Pengambilan ubat Biasanya wanita hamil mengambil ubat
sama ada bagi meneruskan rawatan penyakit yang dialaminya sejak sebelum hamil
ataupun meredakan sebarang gejala yang berlaku akibat kehamilan. Kesan
ubat-ubatan ke atas janin tidak diketahui dengan jelas. Walau bagaimanapun,
segala pendedahan kepada bahan asing dapat memberi kesan pada janin terutama
pada peringkat 1 sehingga 3 bulan kandungan. Risiko kecacatan pada peringkat 4
sehingga 9 bulan adalah kurang berbanding pengambilan ubat sewaktu trimester
pertama, namun ubat-ubatan masih dapat mengganggu perkembangan normal otak,
jantung dan organ-organ lain. Masalah timbul apabila anak dilahirkan. Pada
peringkat ini ubat yang terkandung di dalam badan bayi perlu disingkirkan
daripada badan melalui proses metabolisme ubat yang berlaku di hati ataupun
penyingkiran melalui buah pinggang. Organ-organ ini masih lagi belum matang dan
anak itu mempunyai risiko yang tinggi akibat bahan kimia ubat yang digunakan.
Wanita-wanita hamil juga memerlukan vitamin dan zat galian tambahan. Walau
bagaimanapun, sebelum itu pemeriksaan teliti perlu dilakukan. Ini disebabkan
terdapat vitamin jenis larut lemak seperti vitamin A, D, E dan K dapat
berkumpul di dalam badan dan mengakibatkan kesan buruk ke atas bayi yang
dikandung. Wanita hamil tidak disarankan mengambil multivitamin ataupun
multi-galian tanpa mendapat nasihat doktor ataupun ahli farmasi. Lagipun,
pemakanan yang seimbang berupaya memenuhi ke-perluan vitamin dan zat galian
ibu. Penggunaan Aspirin ketika hamil harus dielakkan walaupun pada fasa ketiga
kehamilan. Aspirin yang diambil pada dos tinggi dikaitkan dengan kelahiran bayi
yang kurang berat badan dan juga mati ketika dalam kandungan. Penggunaan
aspirin semasa trimester ketiga dikaitkan dengan pendarahan yang berlebihan
semasa melahirkan anak. Lagipun, aspirin dapat mengganggu pernafasan dan fungsi
jantung anak yang baru lahir. Kopi, teh, coklat dan beberapa minuman perasa
kola mengan-dungi kafein. Kopi mempunyai kandungan kafein yang tinggi
dibandingkan dengan minuman lain.
Walaupun tidak terdapat sebarang bukti dan
kaitan mengenai kesan minuman kopi dengan kecacatan janin manusia, namun ia
memberi kesan pada janin haiwan. Mengurangkan meminum kopi kepada hanya empat
cawan kopi sehari sahaja iaitu kurang daripada 600mg kafein adalah dibenarkan.
Bahan-bahan semburan seperti insektisid ataupun dalam bentuk gas, khususnya
mereka yang bekerja di tempat di mana terdapat banyak gas seperti di kilang
dapat menyebabkan kecacatan bayi. Bahan-bahan pengawet makanan juga dikenal
pasti dapat memberi kesan yang sama. Sesetengah daripada bahan-bahan pengawet
makanan ini mempunyai kesan tidak baik pada pembentukan jasad bayi di peringkat
awal. Oleh itu, wanita yang sedang hamil di peringkat awal digalakkan memakan
makanan yang segar yang tidak mengandungi bahan pengawet.
Sinar-X Sama ada kita
sedar ataupun tidak, tubuh kita sering terdedah kepada radiasi daripada
matahari, batu, pasir dan sebagainya. Amat menakutkan jika kita terdedah dengan
dos radiasi yang tinggi dan dos ini membahayakan janin sebelum dilahirkan.
Pendedahan kepada radiasi yang berlebihan sememangnya mem-bahayakan. Begitu
juga dengan dos radiasi yang sedikit tetapi pendedahannya berlarutan, juga
membahayakan. Sinar-X yang dianggap sebagai kaedah terpenting perubatan adalah
bahaya kepada janin sebelum dilahirkan. Sekiranya seseorang ibu yang mengandung
hendak melakukan Ujian Sinar-X terutama Sinar-X yang kuat bagi mengesan
penyakit di dalam perut, penyakit buah pinggang dan sebagainya, mereka
hendaklah berbincang terlebih dahulu dengan doktor pakar Sinar-X. Tarikh haid
yang terakhir harus diberitahu kepada doktor. Ini kerana persenyawaan benih
biasanya berlaku di pertengahan pusingan haid, iaitu pada hari yang ke-14
selepas hari pertama haid. Jika Sinar X dilakukan selepas hari ke-14 dan
ditakdirkan kandungan berlaku, ada kemungkinan janin terdedah kepada pancaran
Sinar X dan ia dapat mencacatkan bayi. Menghalakan Sinar–X jauh daripada
bahagian pelvis juga adalah langkah-langkah yang wajar dilakukan. Bahagian
pelvis tidak sepatutnya didedahkan kepada Sinar-X walau sedikit sekalipun.
Kajian menunjukkan ibu yang terdedah kepada radiasi semasa hamil adalah dua
kali ganda berkemungkinan mempunyai anak yang menghidap leukemia.
Jangkitan
kuman yang menjangkiti wanita dalam peringkat awal kandungan dapat
menimbulkan kecacatan. Masa tiga bulan pertama adalah masa yang terpenting
pembentukan jasad dan anggota bayi. Jika terdapat unsur-unsur luar yang dapat
mengganggu proses pertumbuhan janin maka kecacatan mungkin timbul. Secara
amnya, penyakit berjangkit adalah disebabkan oleh pelbagai organisma halus
seperti bakteria, protozoa dan virus. Berbagai-bagai jenis organisma ini berada
di sekeliling kita sama ada siang ataupun malam. Organisma ini membiak dan
membawa bersama penyakit. Bakteria ialah organisma yang dapat hidup di
mana-mana. Kuman inilah yang menyebabkan batuk kering, jangkitan streptococcus
dan staphylococcus, demam skarlet atau demam merah, demam kepialu, sifilis,
gonorea dan apendisitis. Protozoa juga sel organisma yang dapat menyebabkan
penyakit pada tubuh manusia. Penyakit yang bahaya adalah seperti malaria dan
toxoplasmosis. Virus pula berbeza daripada bakteria. Ia memerlukan tisu hidup
untuk membiak. Virus menyebabkan penyakit dengan memasuki sel dan apabila
terlekat pada sel, ia menyebabkan gangguan. Antara penyakit yang dikaitkan
virus ini adalah campak, beguk dan rubela. Kuman sifilis amat membahayakan
bayi. Kuman sifilis boleh aktif dalam darah tanpa menimbulkan tanda pada badan.
Apabila seseorang wanita mengandung, maka kuman sifilis dalam darah dapat
menjangkiti janin dan merosakkannya menyebabkan janin itu gugur ataupun mati
dalam kandungan ataupun lahir cacat.
Pemakanan Kekurangan makanan yang sangat
teruk sehingga menyebabkan kebuluran dapat menjejaskan pertumbuhan bayi. Ibu
hamil mungkin rasa sihat dan kelihatan sihat tetapi jika pemakanannya
berkurangan sedangkan kandungan sedang membesar, janin tetap mengalami masalah
kekurangan zat protein. Satu-satunya khidmat ibu yang hamil untuk anak di dalam
kandungan adalah menyediakan pemakanan yang baik. Dadah dan arak Walaupun
penagihan dadah di kalangan ibu jarang berlaku namun jika ini berlaku di
kalangan wanita yang sedang hamil dan dadah yang digunakan berbahaya seperti
morfin, kokain dan sebagainya, ada kemungkinan perkembangan janin boleh
terganggu dan salah satu daripada masalah adalah kecacatan janin. Tabiat
merokok juga dapat menyebabkan kecacatan bayi. Asap tembakau yang mengandungi
nikotina menyerap ke dalam darah ibu melalui mukus membran di dalam mulut dan
tekak dan juga paru-paru. Di samping itu terdapat juga nikotina daripada asap
tembakau bertindak pada sel-sel saraf dan pusat pernafasan. Walaupun tidak ada
laporan yang menunjukkan nikotina yang terkandung dalam rokok ataupun alkohol
dalam arak dapat menyebabkan kecacatan, tetapi ia dapat mengganggu kehamilan
serta menjejaskan perkem-bangan bayi dalam bentuk yang berlainan. Nikotina
kemungkinan dapat menyebabkan kerencatan pertumbuhan ataupun gangguan
pertumbuhan otak bayi. Cubaan menggugurkan anak Amalan menggugurkan kandungan
sangat meluas berlaku. Ada kalanya ibu berkenaan menggunakan pelbagai cara
antara dengan memakan tapai, nanas muda, jamu, akar-akar kayu, ubat singse dan
seterusnya memakan pil hormon daripada doktor ataupun men-dapat suntikan
daripada doktor. Ini kerana mereka percaya cara-cara itu dapat memaksa haid
keluar ataupun menggugurkan kandungan. Ramai juga yang gagal memaksa haidnya
keluar dan kehamilan berkembang terus tanpa disedari. Percubaan itu mungkin
merosakkan pertumbuhan janin serta menyebabkan kecacatan pada anggota janin
ataupun lainnya. Perbuatan seperti ini adalah dianggap sebagai penganiayaan
pada janin. Tindakan menggugurkan bayi adalah salah baik di sisi undang-undang
mahupun agama. Bagi mereka yang belum bersedia ataupun tidak mahu mengandung,
lebih baik menggunakan cara dan kaedah merancang keluarga daripada menyeksa
ataupun menganiaya janin.
Umur ibu yang berusia 35 tahun ke atas
berkemungkinan mempunyai kesihatan yang kurang baik dan mula menunjukkan
tanda-tanda kesihatan yang dikhuatiri. Walau bagaimanapun, mereka boleh
mengandung dan tidak perlu bimbang masalah yang berkaitan dengan kehamilan
ataupun kemungkinan kecacatan bayi dengan syarat mereka berada di bawah jagaan
doktor pakar. Kejadian bayi cacat, Sindrom Down misalnya hanya meningkat
selepas ibu itu berumur 45 tahun di mana kadarnya lebih kurang satu ataupun dua
dalam 100 kelahiran. Bagi ibu yang berumur 40 tahun ke atas, risiko melahirkan
bayi Sindrom Down adalah satu dalam 200 kelahiran. Tegasnya, kadar bayi cacat,
khususnya bayi Sindrom Down di kalangan ibu-ibu yang berumur 40 tahun ke atas
tidak begitu menggemparkan. Walau bagaimanapun, sebaiknya ibu-ibu yang ingin
melahirkan anak pada umur itu, perlu menjalani ujian biopsi korion dan
seterusnya analisis kromosom ketika umur kandungan dua bulan, bagi mengesan
kecacatan Sindrom Down. Umur yang paling sesuai untuk mengandung adalah pada
usia 23 hingga 29 tahun. Mereka mempunyai peluang yang lebih besar memiliki
anak sihat dan normal. Ibu yang berumur antara 17 hingga 23 tahun dikhuatiri
akan mengalami anak lahir prematur ataupun mati dalam kandungan, ataupun
pertumbuhannya tidak sempurna. Ini kerana sistem pembiakan mereka belum matang
iaitu masih di peringkat nubility iaitu masa apabila telur mula dikeluarkan
dari kilang dan bersedia disenyawakan. Pada masa ini sistem hormon endokrin
bekerja keras melengkapkan semua fungsi organ. Di akhir peringkat ini, barulah
kilang pituitari mengeluarkan hormon yang digelar prolaktin. Hormon ini
menyebabkan ovari mengeluarkan hormon progesterone yang menyediakan rahim untuk
kehamilan. Apabila ini berlaku, sistem pembiakan sudah matang. Kekurangan
oksigen Bayi dalam kandungan mendapatkan oksigen melalui uri. Melalui uri ini,
oksigen masuk ke tubuh bayi melalui pusatnya. Oksigen ini dibawa ke jantung dan
dari sana ia dipamkan ke seluruh tubuh, ke tisu yang sedang bercambah dan
terbina bagi membolehkan percambahan terus berlaku. Dengan oksigen yang
mencukupi dalam aliran darah bayi yang dikandung, anak itu membesar mengikut
ketetapan tertentu. Kesan kekurangan oksigen atau anoxia yang paling serius
kepada anak adalah kerosakan otak. Sebarang kerosakan otak adalah serius,
kerana ia berlaku dengan cepat dan kesannya berkekalan. Sel otak lebih mudah
rosak berbanding sel-sel lain di dalam tubuh. Apabila sel ini rosak, ia tidak
dapat tumbuh semula seperti sel kulit apabila luka. Tidak ada proses
penyembuhan pada sel otak. Lagipun otak mengawal pergerakan manusia dan apabila
sebahagian otak itu rosak maka bahagian yang dikawal turut rosak. Cerebral
palsi berlaku apabila bahagian otak yang mengawal otot-otot dan koordinasinya
rosak. Epilepsi berlaku kerana sistem saraf rosak. Kecacatan mental adalah
tanda sesuatu sudah mengganggu perkembangan sempurna pada alatan berfikir.
Sesetengah daripada penyakit otak adalah kerana kerosakan pada bahagian otak
yang berkenaan. Bukan semua keadaan ini berlaku kerana kekurangan bekalan
oksigen. Sekalipun langkah-langkah diambil bagi mengurangkan kes-kes kekurangan
bekalan oksigen, kes-kes cerebral palsi, epilepsi dan kecacatan mental tetap
berlaku kerana sebab-sebab lain. Kenan Kecacatan tidak boleh dikaitkan dengan
kenan. Jika ada ibu bapa yang menganggap anaknya cacat kerana kenan atau
sebagainya itu tidak benar. Seperti yang dijelaskan, kecacatan anak hanya disebabkan
oleh semua perkara di atas terutama baka. Kemalangan-Kemalangan melibatkan
kepala dapat menjejaskan fungsi otak seseorang.
Penyesuaian Perlu diingat
apabila membincangkan mengenai bantuan yang ingin diberikan kepada kanak-kanak
istimewa ini, ia merujuk kepada semua aktiviti yang dilakukan yang memerlukan
mereka belajar. Aktiviti tersebut merangkumi perkara seharian seperti usaha
seorang pelajar meningkatkan kemahiran pembacaannya serta kemahiran
bermatematik. Ia merujuk juga kepada cara membuat kerja-kerja rumah yamg
diberikan oleh guru dengan lebih efisien. Ia juga merujuk kepada bagaimana
guru-guru meningkatkan kebolehannya sebagai guru. Ia juga merujuk kepada ibu
bapa yang cuba meningkatkan usaha memberi sokongan, penjagaan kesihatan dan
sebagainya yang berkaitan dengan anak mereka. Rancangan sekolah selalu dibuat
berdasarkan kepada murid yang sederhana dan cerdik. Kanak-kanak yang bermasalah
pembelajaran seolah-olah dipaksa menghadapi kegagalan serta kekecewaan dan akan
berdepan dengan kesukaran mengembangkan psikoemosi yang emosi. Dalam situasi
sekolah seperti ini, kanak-kanak merasakan dia akan gagal dalam hidup,
cita-citanya tidak diendahkan, terbantut atau dimusnahkan. Dia juga mungkin
percaya dia diarah supaya percaya dia tidak akan berjaya. Bagi membantu
seseorang itu belajar, sebagai guru mereka perlu tahu pelajar itu sendiri,
sifat, keperluan serta latar belakangnya. Mereka perlu mempertimbangkan
bagaimana membantu pelajar menangani situasi yang dihadapinya, merangsangnya
supaya terus belajar, mempermudahkan proses pem-belajarannya dan menyediakan
persekitaran yang membolehkan kanak-kanak ini mengamalkan apa yang dipelajari.
Ada antara kanak-kanak ini boleh berjaya di sekolah dan dalam hidup jika minat
mereka dirangsang dan mereka diberikan peluang. Mereka boleh dipimpin supaya
menguasai banyak perkara abstrak yang mudah. Perbendaharaan kata yang mudah
harus digunakan, bahan bacaan mesti ditulis berkaitan kepentingan hidup, serta
pengajaran am dan kadar pembelajaran mestilah dilambatkan. Dengan itu barulah
mereka boleh menerima faedah yang banyak dan menjadi pelajar yang berjaya.
Sebahagian daripada kegagalan mereka yang bermasalah pembelajaran dikaitkan
oleh segolongan pendidik tidak berwibawa yang menempatkan kanak-kanak ini ke
dalam situasi di mana mereka tidak boleh berjaya dan kemudiannya tidak membuat
sesuatu bagi menolong penyesuaian mereka. Kanak-kanak ini memerlukan semua
bantuan psikologi yang boleh diberikan kepada mereka. Penulis pernah melawat
sebuah kelas bermasalah pembelajaran yang menggunakan sebuah bilik darjah yang
biasanya diberi nama 4B. Walau pun peringkat akademik ahli-ahli dalam kumpulan
ini bukan seperti kanak-kanak darjah empat, tetapi oleh kerana umur mereka
dimasukkan ke darjah ini. Pada hari itu, nama darjah mereka diubah kepada 2B.
Kanak-kanak ini membantah kerana mereka sangat bangga berada dalam darjah 4B.
Mereka berasa marah kerana kehilangan martabat di kalangan rakan-rakan sekolah
akibat pertukaran tersebut. Penetapan status darjah berdasarkan pencapaian
adalah hak bagi kumpulan ini. Mereka patut diberi sesuatu yang positif dan
merangsangkan oleh pihak sekolah. Mereka berhak mendapat status yang sepatutnya
yang akan mengembangkan sikap ke arah pencapaian yang lebih membanggakan.
Meletakkan tanda 4B, mereka seolah-olah sudah mencapai suatu corak hidup
pelajar yang memuaskan.
Walau pun kanak-kanak ini mempunyai kecerdasan antara 55
hingga 70, namun mereka boleh bergerak balas kepada teknik yang sudah diubah
suai dalam latihan yang baik penyusunannya serta yang mempunyai kakitangan yang
bijak. Kumpulan yang rendah hanya boleh bergerak balas kepada rangsangan bagi
keperluan asasnya untuk hidup.
Kebiasaannya, ibu bapa mempunyai pengaruh yang
besar pada tingkah laku emosi anak-anak. Ada antara ibu bapa sentiasa memaksa
anak-anak mereka dari sejak lahir hinggalah seterusnya. Sebenarnya masih
terlalu ramai ibu bapa yang tidak boleh menerima hakikat bahawa dalam masa
tahun-tahun awal seorang kanak-kanak, ia mungkin tidak berjaya dalam kerja
sekolahnya ataupun menunjukkan kecerdasan otak dalam perhubungan di rumah atau
di tempat-tempat lain. Ibu bapa kerap kali percaya kerencatan itu adalah
disebabkan oleh perkembangan yang lambat dan akhirnya akan dapat diperbetulkan.
Selepas kanak-kanak mencapai umur belasan tahun, ibu bapanya tidak lagi boleh
menyalahkan proses perkembangan sebagai penyebab kerencatan. Selepas itu,
dengan tidak mengira bagaimana hampanya perasaan ibu bapa, kanak-kanak ini
menjadi korban sikap ini terhadapnya.
Bimbingan Kefahaman mengenai kanak-kanak
adalah asas kepada sebarang pertolongan atau bimbingan yang mungkin diberikan
kepada mereka. Kanak-kanak ini sedang maju ke hadapan dan perlu mempunyai jalan
yang disediakan untuknya. Dia mesti dapat memahami nilainya dan mengenal pasti
rintangan-rintangan serta potensinya.
Justeru, semua pihak hendaklah
bertanggungjawab membantu kanak-kanak ini menuju ke sesuatu matlamat yang ingin
dicapai. Bimbingan ialah sebarang bentuk bantuan atau pertolongan yang direka
bentuk dengan betul bagi membantu kanak-kanak ini menyesuaikan diri dengan
persekitannya. Sudah menjadi tugas ibu bapa dan guru menyelesaikan masalah
pembelajaran mereka ini. Antara keadaan yang merungsingkan kanak-kanak ini
adalah kegiatan masa lapang, sikap terhadap orang lain, sikap orang lain kepada
mereka, peringkat rasa selamat serta darjah kejayaan di sekolah.
Penutup
Proses
pembelajaran adalah suatu aktiviti yang kompleks kerana banyak perkara
sebenarnya berlaku serentak pada masa yang sama. Sewaktu sesuatu sesi
pengajaran dan pembelajaran dikendalikan, terlalu banyak perkara yang perlu
diberi perhatian oleh kanak-kanak bagi memastikan mereka menguasai apa yang
diajar guru. Proses tindan-tindih begini tidak dapat dilakukan secara maksimum
oleh sistem neurologi seperti yang diharapkan. Walau bagaimanapun, pembelajaran
boleh dimudahkan dengan wujudnya keadaan seperti berikut: Terdapat objektif
yang jelas dan berpotensi dicapai. Pelajar mempunyai motivasi untuk belajar.
Pelajar disediakan dengan tugasan pembelajaran yang sesuai yang memberi mereka
peluang mengamalkan tingkah laku yang diperlukan. Apabila pembelajaran berlaku,
pelajar mendapat peluang mengamalkan tugas yang lebih sukar yang mendorongnya
supaya belajar lebih lanjut. Pelajar diberitahu mengenai kemajuannya dan
dibantu supaya mencapai objektif yang dimahukan. Terdapat peluang belajar
mengamalkan tingkah laku yang diperlukan di tempat di mana dia boleh
menggunakannya. Apabila pelajar mengamalkan tingkah laku yang diperlukan di
tempat di mana dia boleh menggunakannya, pelajar diberi maklum balas mengenai
kemajuan pembelajarannya.
Mengurus Kanak-kanak yang Susah
Belajar, Mohd. Sharani Ahmad
This article comes from PTS
Publications & Distributors Sdn Bhd
http://www.pts.com.my
The URL for this story is:
http://www.pts.com.my/modules.php?name=News&file=article&sid=4