Monday 17 December 2012

UJIAN PENGAMATAN KANAK_KANAK MASALAH PEMBELAJARAN



                       

  



Kemahiran landasan yang kukuh amat penting dalam proses awal pembelajaran kanak-kanak. Pengamatan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran awal kanak-kanak. Menurut pendapat Ruth Srang dalam bukunya “Reading Diagnosis and Remediation” telah berpendapat bahawa pengamatan merupakan satu proses yang bergantung kepada kognitif / pemikiran dan kederiaan. Melalui tafsiran Janet W Learner (1971) dalam bukunya “Children With Learning Disabilities”, pengamatan adalah proses untuk mempelajari maklumat daripada tindak balas pancaindera atau mekanisme yang menerangkan sesuatu pergerakan pancaindera dengan kuasa intelek.


Menurut Gibson (1969) pula, pengamatan dianggap sebagai satu proses di mana maklumat tentang dunia dan alam sekeliling diperolehi secara langsung dengan melibatkan kepada aspek kesedaran terhadap peristiwa atau perkara yang berlaku di persekitaran seseorang. Teori Gibson menyatakan bahawa dunia luar mempunyai pelbagai maklumat yang boleh dikatakan tepat dan dipercayai serta memperincikan sifat semulajadi tentang objek-objek dan peristiwa yang berlaku. Manusia boleh mengesan sesuatu struktur melalui deria pengamatan kerana aliran kederiaan membawa maklumat yang lebih tepat dan meluas tentang dunia luar berbanding pemprosesan secara intelektual. Secara kesimpulannya, dalam bidang psikologi, pengamatan merupakan satu proses dalam memperolehi, menginterpretasi, memilih dan menyusun maklumat kederiaan. Maklumat-maklumat dalam persekitaran diperolehi daripada reseptor-reseptor deria fizikal manusia seperti pendengaran, penglihatan, sentuhan, bau dan rasa. Secara umumnya, terdapat tiga jenis pengamatan iaitu pengamatan ikonik (melibatkan deria penglihatan), pengamatan ekoik (melibatkan deria pendengaran) dan pengamatan kinestatik (melibatkan deria rasa, bau dan sentuhan).

Namun begitu, terdapat sebahagian besar kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran adalah lambat dalam menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira). Keadaan ini juga adalah disebabkan oleh masalah pengamatan. Oleh itu, dalam hal ini, ujian pengamatan harus diberikan kepada murid-murid  untuk mengenal pasti tahap-tahap kesukaran murid dalam penerimaan pengajaran pembacaan. Walau bagaimanapun, terdapat juga sebahagian besar daripada guru Pendidikan Khas yang kurang mahir dalam melaksanakan ujian pengamatan kepada murid-murid tersebut. Berdasarkan kepada maklumat yang diberikan, para guru-guru baru Pendidikan Khas boleh mengetahui dan memahami tentang :


   i.             Apakah ujian pengamatan?

  ~Kepentingan ujian pengamatan terhadap pelajar bermasalah        pembelajaran.
iii. ~Bagaimana membina senarai semak ujian pengamatan dan instrumennya.

 Ujian Pengamatan

Ujian pengamatan merupakan ujian yang bertujuan untuk mengesan murid dalam mengenal pasti orientasi kedudukan, persamaan atau perbezaan bentuk, corak, saiz, warna, huruf, nombor, suku kata dan perkataan. Penentuan sesuatu saiz, jarak antara kiri dan kanan serta hubungan antara satu objek dengan objek yang lain juga merupakan antara objektif ujian pengamatan. Kebolehan untuk mengingat kembali, menyalin atau melengkapkan sesuatu bentuk, corak, huruf, nombor, suku kata, perkataan dan ayat akan dapat dikesan melalui ujian pengamatan. Terdapat 10 komponen dalam ujian pengamatan iaitu :


   i.      Diskriminasi yang sama (Discrimination sameness)
-  Bertujuan untuk memberikan latihan kepada murid dalam mencari persamaan pada objek, bentuk, warna, nombor, huruf dan sebagainya.

  ii.      Diskriminasi yang ganjil dan tidak sama (Discrimination of differences)
-  Bertujuan untuk memberikan latihan kepada murid dalam mencari perbezaan yang terdapat pada objek, bentuk, corak, warna, nombor, huruf dan sebagainya.

iii.      Diskriminasi saiz (Discrimination of size)
-  Bertujuan untuk memberikan latihan kepada murid dalam membuat perbezaan saiz sesuatu objek, bentuk, corak, warna, nombor, huruf dan sebagainya.

 iv.      Diskriminasi kedudukan (Position in space)
-  Bertujuan untuk memberikan latihan kepada murid dalam membezakan kedudukan sesuatu objek, bentuk, corak, warna, nombor, huruf dan sebagainya.

  v.      Koordinasi motor-mata-tangan
-  Bertujuan untuk memberikan latihan kepada murid dalam menyelaraskan sesuatu pergerakan motor-mata-tangan dan hala tuju arah kiri, kanan dan sebagainya.

 vi.      Pertalian jarak (Spatial relationship)
-  Bertujuan untuk memberikan latihan kepada murid dalam mengandaikan sesuatu saiz, jarak antara kiri dan kanan srta hubungan satu objek dengan objek yang lain.


vii.      Mazing

-  Bertujuan untuk memberikan latihan kepada murid dalam membuat penyelesaian masalah melalui aktiviti mencari jalan keluar daripada tahap yang mudah kepada tahap yang susah.

viii.      Turutan (Sequencing)
-  Bertujuan untuk memberikan latihan kepada murid dalam mengingati dan menyusun semula aktiviti-aktiviti bersiri.

 ix.      Rajah latar belakang / benda tersembunyi (Figure-Ground)
-  Bertujuan untuk memberikan latihan kepada murid dalam menyelesaikan masalah abstrak.

  x.      Menyalin (Visual Copying)
-  Bertujuan untuk memberikan latihan kepada murid dalam menghasilkan sesuatu benda yang dilihat melalui deria penglihatannya sendiri.


Kepentingan ujian pengamatan terhadap pelajar bermasalah pembelajaran adalah untuk mengukur pencapaian seseorang individu untuk dibandingkan dengan pencapaian individu lain dalam sesuatu kumpulan. Ia merupakan suatu ujian yang digunakan untuk menentukan prestasi seseorang individu ke atas sesuatu tugasan supaya pencapaian individu tersebut boleh dibandingkan dengan pencapaian individu lain yang melakukan tugasan yang sama.


Strategi pelaksanaan dan keberkesanan ujian ini adalah merupakan satu langkah yang penting kearah kejayaan sesuatu masalah pembelajaran di sekolah-sekolah. Strategi pelaksanaan program tersebut dapat membantu guru untuk melaksanakan program dengan lebih berkesan. Selain daripada itu strategi pelaksanaan perlu mantap bagi melahirkan pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran dalam menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira.

0 comments:

Post a Comment